comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Mak Engku masih lemah, kini bergantung ‘morphine’

Oleh: Izzatie Rizan

SUNGAI BULOH: Setelah 11 hari terlantar di hospital, keadaan artis veteran Ku Fridah Ku Shafie 72, atau lebih dikenali sebagai Mak Engku masih lagi lemah.

Dia yang mengalami kecederaan patah pada bahagian tulang leher kini bergantung kepada ubat tahan sakit untuk meredakan kesakitan.

Terbaharu, pelakon yang sering membawa watak antagonis itu selamat menjalani prosedur mengambil air tulang belakang bagi mengenal pasti punca penyakit beliau.

Ditemui ketika sesi kunjungan Buletin TV3 bersama rakan artis Normah Damanhuri dan Rozita Rohaizah di Hospital Sungai Buluh, Mak Engku menggambarkan kesakitan yang ditanggungnya ketika ini ibarat seperti dilanggar lori.

Malah dia juga sukar bercakap kerana mengalami batuk.

Anak perempuannya, Siti Noraini Mohd Yusoh, 43, berkata, doktor mengambil keputusan memberikan ubat tahan sakit sejak tiga hari lalu, bagi meredakan kesakitan yang dihadapi.

“Mak saya memang kalau tak ambil ubat tahan sakit, dia akan menangis mengerang kesakitan.

“Untuk itu siapa yang melawat, kadang-kadang dia emosi sikit sebab dalam pengaruh ubat tahan sakit,” katanya.

Meskipun lemah, Siti Noraini memberitahu, ibunya itu cukup gembira menerima kunjungan rakan selebriti.

Ujarnya, kesihatan Mak Engku dikatakan merosot selepas pulang daripada mengerjakan umrah awal bulan ini, sebelum terjatuh di dalam bilik air di rumahnya.

“Ibu patah di bahagian tengkuk tapi bukan di bahagian tulang utama…cuma yang peliknya, kawasan patah itu tak sakit, yang sakitnya di bahagian pinggang.

“Buat masa ini doktor mengesyaki ibu menghidap kanser tapi untuk kepastian, air tulang belakang telah diambil pagi tadi untuk rawatan susulan.

“Saya memohon doa orang ramai supaya ibu saya kembali sembuh,” katanya sayu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini