comscore
Tumpuan :
Nasional

Majlis Raja-Raja mahu pindaan RUU 355 dibuat dengan teliti – PM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Majlis Raja-Raja mahu pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) dibuat dengan teliti dan tidak dilakukan secara tergopoh-gopoh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses pindaan itu perlu mengambil kira pandangan semua pihak sama ada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil termasuk pakar undang-undang antarabangsa.

“Setakat ini saya tidak dapat lihat sebarang bantahan atau masalah sama ada Ketua Hakim Negara yang telah merestui usaha ini, dan Majlis Raja-Raja yang telah diberikan taklimat awal memberikan perkenan cuma mereka (Majlis Raja-Raja) minta supaya diteliti supaya tidak dilihat gopoh atau dalam pelaksanaan (nanti) dilihat kelemahan ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia, di sini hari ini.

April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata, RUU355 menunggu maklum balas daripada pihak Majlis Raja-Raja sebelum laporannya dibawa ke Kabinet dan dijangka dibentangkan pada tahun ini.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad, iaitu denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa lebih mengikut syariah, kecuali hukuman bunuh.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), minggu lalu bagi perbincangan berkenaan pindaan RUU tersebut.

Sebelum ini, beliau juga mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku bekas Pengerusi MKI bagi meneruskan perbincangan mengenai pindaan terbabit.

Menurut Perdana Menteri, Sultan Nazrin dan Sultan Sharafuddin bersetuju dengan kerangka awal pindaan berkenaan, namun mahu ia diteliti.

“Alang-alang kalau nak buat pindaan, buat pindaan yang betul-betul dan menyeluruh supaya kesungguhan kita dalam melaksanakan itu tidak dipertikai dan sekurang-kurangnya jelas dengan hujah kita mencakupi semua bidang.

“Pada Ogos ini insya-Allah kita bentangkan (laporan pindaan RUU kepada MKI), tetapi tentu tidak dapat dimuktamadkan kerana perbincangan saya dengan Sultan Perak sebaik-baiknya diangkat ke peringkat antarabangsa.

“Kita rujuk semula sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan kemudian kepada sidang Majlis Raja-Raja Melayu kerana soal Islam, adat dan kewarganegaraan, hal-hal tertentu mesti mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Beliau juga mahu pindaan berkenaan menjadi satu dokumen kukuh dan disepakati semua negeri dan mufti, yang boleh ditelaah di peringkat antarabangsa.

“Ini bukan satu dalih untuk melengahkan atau untuk meremehkan usaha yang lalu… apabila kita perkenalkan (RUU) ini, ini contoh terbaik pelaksanaan (iaitu) satu dokumen (sebagai) usaha memartabatkan perundangan Islam kemudian boleh dijadikan panduan, diserasikan di antara kedudukan dan kekuatan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

“Di samping itu (RUU) juga melihat beberapa ciri atau peruntukan Mahkamah Sivil yang ternyata melanggar terang konsep perundangan Islam, barulah kita kata konsep pengislaman sebenarnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini