KUALA LUMPUR: Majlis pernikahan pelakon, pelawak dan penyampai radio, Shuib pada 23 Jun ini bakal berlangsung secara sederhana tanpa majlis resepsi.
Menurut Shuib, keputusan itu dibuat atas persetujuan keluarga kedua-dua pihak termasuk pasangannya, Watie Hanifiah.
“Hanya ada majlis khatam Al-Quran, berinai dan majlis akad nikah pada 23 Jun ini. Tiada majlis resepsi diadakan kerana ini adalah atas persetujuan kedua-dua belah.”
Tambahnya, majlis akad nikah akan diadakan di atas pelamin bagi memudahkan mereka bergambar bersama keluarga.
Menurut Shuib, majlis perkahwinannya itu mendapat penajaan mencecah lebih RM1 juta termasuk bagi kos busana dan barangan kemas.
Disamping itu, beliau juga ada mengeluarkan wang sendiri.
Majlis pernikahan pasangan itu akan berlangsung di Putra Glass House, Putra Height dan terhad kepada 600 tetamu undangan sahaja.
Shuib mengikat tali pertunangan dalam majlis tertutup di kediaman usahawan itu di Shah Alam pada 6 Mei lalu.
Watie 35 tahun belum pernah berkahwin manakala Shuib 39 tahun pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Siti Sarah Raissuddin pada 2011.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9; Ariq Matin, 6 dan Ayash Affan, 2 tahun.
Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.