comscore
Tumpuan :
Nasional

Majlis Perbandaran Kemaman, PBT pertama laksana Pasport Keselamatan 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Semenanjung Malaysia yang melaksanakan sistem pasport keselamatan untuk memastikan keselamatan pekerjanya serta mereka yang bekerja untuk kontraktor dan vendor MPK.

Yang Dipertua MPK, Fadli Yusof Zakaria berkata, Pasport Keselamatan MPK (MPK Safety Passport – MPKSP) merupakan kad keselamatan yang dikeluarkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) setelah pekerja menjalani kursus induksi keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Antara manfaat yang diperolehi oleh pemegang pasport keselamatan ini adalah pampasan sebanyak RM15,000 jika berlaku kematian atau hilang upaya akibat kemalangan.

“Dengan adanya kad keselamatan ini, kebajikan kakitangan MPK dan pekerja kontraktor lebih terjamin.

“Sebagai sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan awam kepada masyarakat, MPK sentiasa menitikberatkan aspek KKP dalam setiap aktiviti pembersihan awam, pengurusan sisa pepejal, pengindahan bandar, kawalan lalu lintas dan sebagainya,” katanya ketika melancarkan MPKSP di ibu pejabat MPK hari ini.

Jelasnya lagi, kualiti dan perkhidmatan warga kerja MPK akan lebih berkesan apabila sentiasa mengutamakan aspek KKP, manakala gabungan pematuhan amalan kerja yang standard, selamat dan sihat akan menjadikan kerja harian lebih selamat, jimat kos, produktif selain mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

MPK juga berjaya melahirkan seramai 10 orang tenaga pengajar dalaman untuk memberikan latihan berkaitan MPKSP.

Fokus utama MPK adalah untuk memastikan kakitangan yang terdedah dengan risiko bahaya di tempat kerja dilindungi dan mendapat manfaat apabila berlaku kemalangan sama ada di tempat kerja atau ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif NIOSH Mejar (B) Hanif Madin berkata, pelaksanaan MPKSP merupakan pencapaian yang amat penting dan seharusnya menjadi kebanggaan warga MPK serta  mendorong PBT lain untuk melaksanakannya.

“NIOSH berharap kesemua PBT di Negeri Terengganu akan melaksanakan sistem pasport keselamatan agar negeri ini menjadi negeri pertama di Semenanjung di mana kesemua PBT melaksanakan inisiatif tersebut,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menyeru majikan dan pihak industri yang masih belum melaksanakan program pasport keselamatan untuk berusaha ke arah pelaksanaannya sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit di tempat kerja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini