Tumpuan :
Nasional

Majlis Media Malaysia tiada campur tangan politik – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. – Foto fail NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PUTRAJAYA: Penglibatan wakil kerajaan dalam Majlis Media Malaysia (MMM) tidak membabitkan sebarang inividu berkepentingan dalam kerajaan mahupun politik.

Jurucukap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil sebaliknya menjelaskan kedudukan itu hanya melibatkan individu dalam kalangan pengamal media itu sendiri.

“Hal ini tidak menjadi isu dan kehadiran dua wakil kerajaan seperti yang Timbalan Menteri sudah jelaskan dalam parlimen, bukan dalam kalangan ahli politik. Mereka harus menjadi warga media itu sendiri contohnya Bernama atau RTM,” katanya ketika sidang media hari ini.

Semalam, kira-kira 10 persatuan berkaitan media menolak penglibatan wakil kerajaan menjadi sebahagian dalam Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia.

Menurut beberapa persatuan media itu, mereka menyatakan hasrat berkenaan ekoran tidak mahu objektif utama penubuhan MMM yang diluluskan di parlimen terjejas selain dicengkam individu yang mempunyai kepentingan.

Penubuhan MMM merupakan sinar baharu bagi industri media selepas 50 tahun penubuhannya dibincangkan.

Matlamat utama penubuhan MMM antara lain untuk menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini