comscore
Tumpuan :
Nasional

Majlis-majlis Perbandaran di Selangor digesa perbaiki tatacara pengurusan pusat kurungan haiwan terbiar

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan bertitah menggesa pihak-pihak berkuasa khususnya majlis-majlis perbandaran di Negeri Selangor agar memperbaiki dan menaiktaraf tatacara pengurusan di pusat-pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.

Baginda menzahirkan rasa dukacita dan kecewa susulan tularnya gambar dan video anjing-anjing terbiar yang terabai di sebuah pusat kurungan anjing di negeri Selangor.

Sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) kendalian SPCA Selangor, Baginda mahu pihak-pihak berwajib meneliti semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan pusat-pusat kurungan haiwan terbiar ini.

Menyedari bahawa anjing terbiar yang ditempatkan di pusat-pusat ini kebanyakannya tidak terurus dan kurang nutrisi, Baginda mahu agar prosedur operasi standard (SOP) harian yang sedang digunapakai, disemak semula. Ini kerana jika SOP semasa ini terbukti berkesan, tidak sepatutnya tular video yang menunjukkan anjing-anjing berkenaan seolah-olah teraniaya, terabai dan tidak terurus.

Justeru Baginda mencadangkan agar usaha-usaha ke arah memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan-haiwan terbiar ini dipergiat, menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC) ditunjangi oleh beberapa perkara antaranya, memperkasa semula kolaborasi dan kerjasama di antara majlis-majlis perbandaran dan penduduk-penduduk taman perumahan terlibat, bekerjasama dengan SPCA dalam mengendalikan sesi-sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk selain menyediakan jadual lawatan berkala oleh SPCA dan NGO ke pusat-pusat kurungan haiwan terbiar.

Baginda turut mencadangkan agar pegawai-pegawai kebajikan haiwan ditempatkan bersama pencinta-pencinta haiwan di setiap zon daerah, seterusnya melatih mereka untuk menggalakkan pengkasian (neuter) haiwan terbiar di bawah kempen SFS serta mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA dan NGO sekiranya wujud keperluan untuk melupuskan haiwan-haiwan terbiar ini di atas sebab kesihatan atau sebagainya.

Baginda juga berharap usaha-usaha untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja.

Di samping tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh pihak-pihak berwajib, Baginda juga mahu setiap ahli masyarakat menggalas peranan yang lebih signifikan khususnya dalam memupuk perasaan sayangkan haiwan dan prihatin dengan keadaan sekeliling.

Loading...
Terkini