KOTA KINABALU: Majlis Air Sabah akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan situasi semasa di negeri itu, terutamanya berkaitan keadaan kemarau, musimnya dan masalah pembekalan air.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata, mesyuarat yang akan beliau pengerusikan itu penting diadakan, kerana situasi kemarau yang telah dengan jelas kelihatan dengan aras sungai di negeri itu berkurangan antara 10 hingga 40 peratus.
“Semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) diminta untuk menyediakan laporan terkini mereka,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MAFFI dan Shaanxi Construction Engineering (Malaysia) Sdn Bhd, untuk projek berkaitan tebatan banjir, di sini hari ini.
Datuk Seri Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri berkata, beberapa daerah seperti Papar dan Tambunan terjejas teruk akibat kemarau, terutamanya sawah padi kerana sumber utama air mereka bergantung kepada sungai.
“Buat masa ini, walaupun kesannya tidaklah begitu serius, mesyuarat esok akan membincangkan cadangan bagi menghadapi situasi ini dan tambahan kewangan yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu tambahnya, kerajaan Sabah bercadang untuk memperluaskan kawasan penanaman padi daripada 24,000 hektar kepada 30,000 hektar tahun ini, sekaligus mengurangkan pergantungan negeri terhadap import padi dan menjimatkan ratusan jutaan ringgit, serta memastikan sekutiri makanan di Sabah.