KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam di negara ini disaran untuk memanfaatkan kepakaran sektor kewangan bagi menguruskan aliran perbelanjaan dengan lebih efisien, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujarnya, langkah itu bertujuan mengurangkan sebarang pelaburan yang tidak menguntungkan.
Ketika berucap di Forum Ilmuwan Malaysia MADANI malam tadi, Anwar turut menegaskan bahawa langkah itu boleh dilaksanakan dengan mendapatkan pandangan daripada institusi kewangan besar seperti Maybank, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dan Bursa Malaysia.
Namun, Anwar menekankan bahawa masih terdapat budaya kerja secara terasing dalam kalangan pihak berkaitan yang menghalang pengurusan dana yang lebih strategik.
Mengulas lanjut, beliau berkata prinsip sama turut diterapkan dalam pentadbiran kerajaan pimpinannya, apabila Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Pengarah (KP) kementerian digalakkan memberi cadangan baharu serta berinovasi dalam merancang perbelanjaan kerajaan.
Sementara itu, dalam konteks pengurusan dana zakat, beliau menekankan kepentingan pengelolaan yang cekap untuk mengelakkan pertindihan antara agensi.
Anwar turut menjelaskan keperluan Majlis Agama Islam mengambil peluang daripada kepakaran pihak luar bagi memperbaiki pengurusan kewangan dan memastikan dana yang diterima dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.