Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Majikan wajar beri peluang, lebih 70,000 banduan produktif sesuai jadi sumber tenaga kerja

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lebih 70,000 banduan di negara ini dikenal pasti mempunyai nilai produktif untuk menjadi sumber tenaga kerja sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Justeru, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menggalakkan lebih ramai majikan membuka peluang menggaji banduan iaitu orang di bawah parol (ODP) atau orang diselia (ODS) dan bekas banduan terlebih dahulu, berbanding menggaji pekerja asing.

“Tahun ini, kita menyasarkan seramai 15,000 banduan akan mendapat pekerjaan menerusi kerjasama strategik yang dilakukan antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Penjara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Nota Kolaborasi antara PERKESO dan JPM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad; Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

​​​​​​​Sejak kolaborasi itu diadakan 2021 hingga Mac ini, 588 banduan, termasuk pelatih Sekolah Henry Gurney dan bekas banduan, berjaya mendapat tawaran dan penempatan pekerjaan.

“Daripada jumlah itu, 409 bekas banduan, empat banduan luar penjara dan 135 adalah penghuni Sekolah Henry Gurney.

“Dalam tempoh yang sama, majikan yang mengambil peluang di bawah program Insentif Penggajian dengan memberi latihan dan advokasi pula berjumlah 234 ODP dan ODS,” katanya.

“Kepada majikan, kita tidak mensyaratkan, tetapi akan adakan program tertentu untuk pengetahuan majikan dan melihat mekanisma terbaik untuk membolehkan majikan bersedia menerima lebih ramai banduan atau bekas banduan sebagai pekerja mereka,” katanya.

Sementara itu, Nordin berkata, sejak 2021, seramai 4,019 penghuni penjara sudah mendapat manfaat menerusi kerjasama antara JPM dan PERKESO dan mengambil kira kadar gaji minimum RM1,500 sebulan,  RM6,028,500 nilai produktiviti  berjaya dicairkan daripada penjara.

Statistik JPM menunjukkan, 74,842 adalah penghuni di dalam penjara, 5,860 (kategori penghuni luar penjara) seperti ODP, orang bekas berlesen (OBB), penghuni bebas lesen (PBL), Pusat Reintegrasi Penjara (PRP), Program Reintegrasi Penghuni Industri (PRPI) dan Rumah Perantaraan (RP) dengan keseluruhannya 81,011 orang.

Loading...
Terkini