Tumpuan :
Nasional

Majikan mohon KDN pertimbang buka semula program RTK 2.0

Syah Putra Marwan menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Norhayati Abd Manaf ketika perhimpunan aman merayu kerajaan membuka semula proses bayaran RTK 2.0 di Putrajaya. -FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Kira-kira 100 majikan berhimpun di luar pintu masuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini, untuk menyerahkan memorandum pembukaan semula program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bagi memudahkan majikan mendaftarkan pekerja mereka yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) secara sah.

Jurucakapnya, Syah Putra Marwan, 42, berkata, penutupan serta-merta program itu tanpa sebarang notis menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan terutama dalam kalangan majikan dan pekerja warga asing yang sedang menjalani proses berkenaan.

Menurutnya, ramai majikan terjejas kerana sudah mengeluarkan kos hampir RM2,000 bagi setiap pekerja untuk membayar kompaun, levi, Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dan insuran dalam usaha mematuhi undang-undang membenarkan kumpulan itu bekerja di Malaysia secara sah.

Katanya, tindakan ini juga menyukarkan sektor-sektor yang sangat bergantung kepada tenaga kerja asing, khususnya sektor pembinaan, perladangan dan pembuatan.

“Susulan penutupan itu, ramai dalam kalangan pekerja warga asing ini berada dalam ketidakpastian, berdepan risiko penahanan pihak berkuasa dan tidak dapat bekerja sedangkan pihak majikan sudah mengambil langkah perlu bagi mematuhi program RTK 2.0 ini, namun tidak diluluskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas ia ditutup serta merta,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan tidak akan melanjutkan proses verifikasi pekerja asing kepada semua majikan yang mendaftar di bawah Program RTK 2.0 sebelum 31 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipetik berkata, majikan yang memerlukan tenaga kerja asing diminta untuk menyegerakan permohonan berkenaan selepas proses pengambilan pekerja asing sudah dipermudahkan.

Malah, KDN sebelum ini turut mengumumkan bahawa kuota yang tidak digunakan untuk mengambil pekerja asing akan dibatalkan pada 1 Jun.

Majikan, Rewathi Rajendran, 44, berkata, ketiadaan notis awal mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan pihak berkepentingan iaitu majikan, pekerja asing serta ejen pengambilan yang terbabit dalam proses ini.

Menurutnya, sepatutnya perlu ada koordinasi yang jelas disampaikan kepada semua pihak berkepentingan dan pengumuman penutupan secara mendadak ini tidak wajar diadakan sehingga menyebabkan banyak pihak menanggung kerugian.

“Kami merayu supaya kerajaan mempertimbangkan semula tempoh peralihan ini bagi memberi masa dan ruang kepada majikan serta pekerja asing menyelesaikan semua urusan yang tertangguh,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini