Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
SHAH ALAM: Majikan yang menggaji pekerja asing diberi tempoh tiga bulan untuk melengkapkan proses pengesahan pekerja asing di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, RTK 2.0.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses pengesahan pekerja asing itu akan membolehkan Jabatan Imigresen, JIM meneliti kesahihan majikan serta pekerja asing di bawahnya.
Ujar beliau lagi, tindakan akan diambil terhadap majikan yang gagal mematuhi tempoh di bawah Seksyen 55B, Seksyen 55E dan Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959 dan 1963.
“Proses itu akan membolehkan kita melihat sama ada majikan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau tidak dan sama ada pekerja asing ini telah tinggal lebih masa,” ujarnya ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Jabatan Imigresen Negeri Selangor di Shah Alam.
Katanya, melalui langkah itu, pihaknya boleh menilai sama ada pekerja asing terbabit pertama kali berada di Malaysia atau sebaliknya.
Sementara itu, Saifuddin memaklumkan seramai 1.1 juta pekerja asing telah didaftarkan di bawah program RTK 2.0 yang berakhir pada 31 Disember 2023.
Program RTK 2.0 bermula pada tahun lalu dengan kira-kira 518,000 pendatang tanpa izin diberikan permit kerja baharu dan disalurkan ke dalam sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.
Manakala Program RTK 1.0 yang berlangsung dari November 2020 hingga Disember 2022, menyaksikan 418,649 pendatang tanpa izin berdaftar, melibatkan 30,137 majikan.
Pada masa sama, Saifuddin memaklumkan seramai lapan majikan dan 766 pendatang asing tanpa izin ditahan penguatkuasa imigresen dalam tempoh lima hari bermula 1 Januari sehingga Jumaat lalu.
Beliau berkata pihaknya turut melihat keupayaan kapasiti menampung pendatang asing di 21 depoh imigresen sedia ada.
“Setakat ini, seramai 12,188 warga asing ditempatkan di semua depoh berkenaan berbanding kapasiti maksimum 19,000 orang. Tindakan menerusi pendakwaan kes di mahkamah akan menentukan hukuman kepada mereka termasuk menghantar mereka pulang ke negara asal,” katanya.