comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Majikan bawa masuk pekerja asing saat akhir punca KLIA sesak

 


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Peningkatan kadar kemasukan pekerja asing yang tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 adalah disebabkan tindakan majikan yang membawa masuk pekerja mereka pada saat-saat akhir.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ini berikutan kerajaan menetapkan 31 Mei ini sebagai tarikh akhir kepada majikan untuk membawa masuk pekerja asing mereka.

“Sebagai perbandingan, dalam keadaan biasa, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500 hingga 1,000 orang.

“Bilangan ketibaan mula meningkat sehingga 2,500 orang sehari pada 22 Mei lalu dan seterusnya pada 27 Mei lalu telah meningkat sehingga 4,000 ke 4,500 orang sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, Jabatan Imigresen (JIM) menjangkakan bilangan ketibaan akan terus meningkat sehingga esok.

Ia berdasarkan makluman dari syarikat penerbangan yang akan meningkatkan jumlah penerbangan mereka bagi memenuhi permintaan.

Mengulas lanjut, menurut Ruslin, setiap pekerja asing yang masuk ke negara ini perlu melalui proses semakan dan pengesahan pemeriksaan kesihatan mereka di KLIA.

Justeru, JIM dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengambil langkah segera untuk menguruskan kesesakan itu bagi memastikan keselesaan penumpang lain terjamin.

“Antara tindakan yang telah dilaksanakan adalah menambah bilangan kaunter untuk mempercepatkan proses semakan dan pengesahan serta menambah bilangan pegawai Imigresen untuk menguruskan ketibaan pekerja asing yang ramai.

“Tindakan lain adalah menguruskan kebajikan seperti menyediakan makan dan minum untuk pekerja asing yang berada di terminal,” katanya.

Jelasnya, JIM akan terus memantau dan menambah baik situasi berkenaan.

Pada masa sama, beliau menggesa majikan untuk memberikan kerjasama penuh dengan hadir segera bagi menyelesaikan proses pemeriksaan imigresen pekerja mereka, seterusnya mengurangkan kesesakan di balai ketibaan.

Kerajaan menetapkan tarikh akhir pengambilan pekerja asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 pada 31 Mei ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini