Tumpuan :
Nasional

Majestic Johor bawa nama ke London

Tourism Johor sertai pameran World Travel Mart 2022 London mulai 7 hingga 9 November lalu. – FOTO: Tourism Johor

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri menerusi Tourism Johor memperkenalkan penjenamaan Majestic Johor yang mempunyai nilai tambah menerusi penyertaan pameran pelancongan antarabangsa World Travel Market London 2022 di London.

Jurucakap Tourism Johor berkata, ia adalah susulan sambutan di luar jangkaan yang diterima menerusi penganjuran Festival Majestic Johor di Iskandar Puteri di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pameran pelancongan World Travel Market London 2022 berlangsung pada 7 hingga 9 November lalu di Excel Exhibition Center, London.

“Ia adalah inisiatif kerajaan negeri mempergiatkan promosi bagi tarikan dan keunikan destinasi pelancongan serta kepelbagaian seni budaya di Negeri Johor di persada antarabangsa bagi pasaran Eropah.

“World Travel Market ini membabitkan penyertaan lebih 90 negara dan organisasi dari seluruh dunia yang menjadikan ia sebagai platform terbaik buat kerajaan negeri mengetengahkan dan meluaskan rangkaian promosi serta peluang perniagaan dan pelaburan berkaitan sektor pelancongan yang ditawarkan di Johor,” katanya.

Sementara itu katanya, antara fokus atau sasaran produk pelancongan yang akan diperkenalkan sebagai tarikan pelancong luar negara adalah pelancongan pulau dan pantai di Kepulauan Mersing seperti Pulau Rawa (mendapat jolokan Maldives Malaysia) Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Dayang dan Pulau Sibu.

“Desaru pula diiktiraf sebagai antara 100 destinasi terbaik dunia menjadi tumpuan destinasi percutian pantai yang menawarkan hotel serta resort bertaraf dunia dan eksklusif seperti One and Only Desaru Coast, Anantara Desaru Coast Resort and Villas, The Westin Desaru Coast Resort dan Hard Rock Hotel Desaru Coast.

“Produk eko pelancongan yang kaya dengan khazanah alam semulajadi dan biodiversiti ditawarkan kepada pelancong.

“Pelancongan warisan (heritage tourism) dengan peninggalan pelbagai kesenian dan budaya untuk dijejaki serta diterokai oleh segenap lapisan masyarakat tempatan dan global,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Negeri turut membawa bersama beberapa agensi serta pemain industri sebagai peluang meluaskan rangkaian promosi secara dua hala antara penggiat pelancongan Eropah seperti Perbadanan Taman Negara Johor, Rawa Island Resort, Anantara Desaru Coast serta beberapa pengusaha produk, hotel, resort, taman tema dan syarikat penerbangan.

“Misi ini perlu dilihat sebagai satu inisiatif yang memberi impak dan faedah supaya promosi diperluas dan diperhebatkan secara agresif dengan memperlihatkan negeri Johor sebagai destinasi pelancongan utama dan eksklusif bagi pasaran Eropah.

“Ia juga memberi peluang bagi melebarkan lagi nama Johor selaku destinasi pelancongan pilihan warga dunia,” katanya menerusi siaran media. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini