KUALA LUMPUR : Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, program dokumentari popular terbitan TV3, iaitu Majalah 3 akan membawa empat episod khas secara eksklusif, setiap minggu, mulai hari ini sehingga 11 September depan.
Empat episod khas itu boleh ditonton setiap Isnin jam 9 malam di TV3 dan strim langsung HD di www.tonton.com.my.
Penerbit Kanan Majalah 3, Christine Lee Mei Chin berkata, Majalah 3 tidak pernah menghampakan penonton setia dengan pengisian yang membawa pelbagai kisah daripada aspek kemanusiaan, budaya, makanan, teknologi, sukan dan alam sekitar.
“Istimewa buat tontonan ramai pada Bulan Kebangsaan, Majalah 3 memaparkan empat episod khas untuk menaikkan semangat patriotisme rakyat Malaysia.
“Barisan wartawan Majalah 3 yang berpengalaman, menelusuri kisah menarik yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia.
“Bagi episod pertama, Majalah 3 membawa kisah di sebalik tabir penganjuran acara bertaraf dunia iaitu Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi, LIMA 2023.
“Pada siaran 28 Ogos, Majalah 3 menjejak khazanah negara di samudera atau belantara.
“Ini diikuti pengisian yang mengetengahkan aneka masakan berperisa pedas dalam kuih muih dan lauk pauk yang menyatukan rakyat disusuli kisah di sebalik tabir pembinaan menara Merdeka 118 pada 11 September depan,” katanya dalam kenyataan.
Chin berkata, Majalah 3 amat berterima kasih kepada semua pihak yang memudahkan urusan kru daripada peringkat penyelidikan, mencari maklumat, penggambaran sehinggalah pasca penerbitan bagi empat episod khas terbabit.
“Ribuan terima kasih atas bantuan dan kepercayaan yang diberi kepada kru Majalah 3 untuk meneruskan misi kami menghasilkan dokumentari terbaik buat tatapan umum,” katanya.
Dalam episod pertama berkisar penganjuran LIMA 2023, wartawan bertugas Zerry Francis dan Nor Izzati Lockman diberi akses khas memasuki pelbagai pesawat dan kapal dari luar negara, serta latihan persiapan daripada pelbagai agensi penguat kuasa Malaysia.
Episod kedua pula menyaksikan wartawan Mohd Rose Abdullah dan Nur Aishah Al-Husna Ramli menempuh lautan dalam dan kawasan pergunungan bagi merakam penemuan penjejak sejarah negara.
Ini termasuk penemuan Kapal Nichi Asu Maru, iaitu kapal Jepun yang membawa minyak pesawat yang karam ditembak tentera British dalam perjalanan ke Sabah dan Sarawak pada 1960.
Mereka juga menjejaki rangka helikopter jenis Bristol milik tentera Amerika Syarikat (AS), yang difahamkan terhempas pada 1957 di belantara Malaysia.
Bagi siaran 4 September, Majalah 3 memaparkan tema makanan berperisa pedas dalam kuih muih dan lauk pauk dalam kaum Melayu, Cina dan India yang menyatukan rakyat.
Episod akhir yang bakal disiarkan pada 11 September depan memaparkan kisah di sebalik tabir pembinaan menara Merdeka 118 yang menjadi pencakar langit kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia.
Wartawan Zerry bersama kru mengambil masa setahun mengikuti proses pembinaan fasa akhir menara ini dan kemuncaknya, suatu kejutan diatur pada 31 Ogos depan.
Usah ketinggalan menyaksikan empat episod khas Majalah 3 sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia mulai minggu ini.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook (FB), Instagram dan Twitter di @TV3Malaysia.