KUALA LUMPUR: Sejumlah 38 skim bantuan disediakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) termasuk skim penempatan golongan gelandangan di Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, selain itu, terdapat juga usaha untuk membawa golongan gelandangan keluar daripada kepompong kemiskinan dan mereka dapat mencari pekerjaan.
“Melalui usaha dibuat MAIWP ini, saya percaya golongan gelandangan khususnya di Kuala Lumpur dapat dikurangkan dan akan dibantu khususnya dari sudut penempatan mereka,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkait usaha dilakukan bagi memastikan golongan gelandangan di Kuala Lumpur diberi bantuan khususnya dari segi penempatan dan peluang pekerjaan kepada mereka.
Sementara itu, menjawab mengenai soalan tambahan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid sebelum ini, Mohd Na’im berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk Menggubal Undang-Undang Islam sedang dalam proses memuktamadkan laporan mereka.
Beliau berkata, pengerusi jawatankuasa itu yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi menyatakan padanya bahawa laporan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Berkaitan dengan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Zaki, Alhamdulillah sebanyak 40 kali mesyuarat diadakan dan terakhir sekali pada 15 November lalu.
“Setakat hari ini, saya dimaklumkan oleh Tun Zaki, mereka dalam proses memuktamadkan laporan yang kemudiannya akan diserahkan kepada Pengerusi MKI, Sultan Nazrin.
“Saya percaya Tun Zaki sudah mengambil kira pihak yang terbabit dan seperti mana yang disebutkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.
Jawatankuasa Khas itu bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang membabitkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam.
Ia termasuk mengkaji bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.