comscore
Tumpuan :
Nasional

MAIWP bekerjasama dengan JAWI mengenai tindakan sesuai terhadap GISBH

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedang bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengenai tindakan penguatkuasaan yang sesuai dan yang boleh dikenakan terhadap Global Ikhwan Services Business Holding Sdn Bhd (GISBH).

Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, berkata ianya selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) atau apa-apa perundangan lain.

Jelasnya, aktiviti yang dijalankan oleh GISBH telah dikaitkan dengan ajaran, pegangan dan fahaman kumpulan Al-Arqam.

Al-Arqam merupakan kumpulan yang pernah difatwakan sebagai mengamalkan amalan yang bercanggah dengan akidah Islam melalui penyiaran fatwa dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 31 Mei 2007.

“Merujuk kepada isu GISBH dan bidang kuasa MAIWP untuk mengambil tindakan, MAIWP mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Akta 505).

“Ia untuk membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkenaan dengan semua perkara berhubungan dengan agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan kecuali perkara yang menyentuh Hukum Syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran kehakiman Syariah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, MAIWP sentiasa komited untuk bertindak dan sedia membantu agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menangani isu yang menyentuh serta melibatkan GISBH.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini