comscore
Tumpuan :
Nasional

MAIS sasar RM14 juta kutipan fidyah tahun ini

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua dari kiri) menyerahkan replika cek agihan Fidyah 2024 kepada wakil Masjid Ar Rahman Pandamaran Jaya, Norzaki Sayuti (dua dari kanan) pada Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Negeri Selangor 2024 di Shah Alam.- Foto: NSTP

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyasarkan kutipan fidyah sebanyak RM14 juta tahun ini.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sasaran itu susulan kejayaan mengutip sebanyak RM12.5 juta pada tahun lalu berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM11.5 juta.

Katanya, pihaknya juga menyediakan kalkulator fidyah puasa bagi memudahkan masyarakat Islam melaksanakan kiraan fidyah.

“Hukum membayar fidyah ini adalah wajib. Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat Islam di Selangor ini, untuk menyegerakan bayaran fidyah melalui MAIS,” katanya ketika berucap pada pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah MAIS dan majlis penghargaan rakan strategik serta rakan media, hari ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ditemui media selepas Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Negeri Selangor 2024 di Shah Alam.- Foto: NSTP

Bayaran fidyah boleh dibuat terus kepada MAIS atau ejen yang telah dilantik agensi itu seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS); Malaysia E-Government (MYEG); Bank Muamalat Malaysia Berhad; As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad.

“Saya berharap menerusi kempen ini semua masyarakat Islam mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menunaikan kewajipan puasa dan membayar fidyah,” katanya.

Kempen berlangsung hingga 11 Mac depan.

Mengikut hukum, fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadan sehingga masuk Ramadan tahun berikutnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini