SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menafikan kenyataan yang dibuat oleh pemilik akaun media sosial Facebook, Ahmad Shuaib Ismail, semalam, yang mempunyai unsur fitnah dan boleh menjatuhkan imej MAIS.
Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar, dalam kenyataan hari ini, berkata antara kandungan penulisan itu menyatakan MAIS “mengisytihar Hadi ajaran kafir sesat”.
“Pihak MAIS mendapati kandungan hantaran yang dibuat di akaun media sosial itu adalah tidak benar dan mengandungi unsur fitnah yang boleh mencemarkan imej MAIS sebagai pihak berkuasa agama di Selangor,” katanya.
Beliau berkata pihak MAIS amat memandang serius terhadap perkara seperti itu dan terhadap mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya menggunakan nama MAIS untuk sebarang kepentingan.
“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka berkaitan perkara ini,” tegasnya. — BERNAMA