comscore
Tumpuan :
Nasional

MAIS junjung titah Sultan Sharafuddin, laksana tindakan bersepadu terhadap GISBH

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah melaksanakan tindakan bersepadu bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan tersebut termasuk memastikan sekolah Islam yang terlibat ditutup dan dibatalkan pendaftarannya sebagai sekolah Islam di Negeri Selangor dan memastikan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membuat keputusan segera bagi hasil kajian dan penelitian terhadap GISBH.

“Perkara ini telah diambil tindakan serius oleh pihak JAIS dan laporan berkaitan akan dibentangkan kepada MAIS dalam Mesyuarat MAIS yang akan diadakan pada 24 September 2024.

“Begitu juga dengan Jabatan Mufti Negeri Selangor berhubung keputusan fatwa yang akan bersidang pada 30 September 2024 bagi memutuskan persoalan berkaitan GISBH,” katanya.

Katanya, MAIS menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj berhubung tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya yang terlibat dalam fahaman serta ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

MAIS juga menjunjung titah Baginda mengenai tindakan terhadap penglibatan sekolah Islam di Negeri Selangor dalam kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam turut.

“MAIS dan semua agensi hal ehwal Islam di Negeri Selangor menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan sama sekali tidak berkompromi dengan GISBH atau rangkaiannya atau mana-mana pihak lain yang terlibat dengan kesalahan berkaitan dakwaan penglibatan sekolah Islam di Negeri Selangor dalam kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sebenar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini