ISKANDAR PUTERI: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah mula melaksanakan proses pemurnian dan pemulihan akidah bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.
Katanya ia dilakukan menerusi pendekatan sukarela oleh individu yang terlibat dan juga penguatkuasaan undang-undang, dengan fokus utama untuk membawa kembali bekas ahli GISBH kepada ajaran Islam sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“MAINJ juga bersetuju bantu beri saraan bulanan kerana kita tahu selepas dikenakan tindakan, perniagaan mereka tidak lagi dapat diusahakan. Oleh itu, MAINJ jaga kebajikan keluarga individu terlibat termasuk beri bantuan persekolahan,” katanya.
Sementara itu Mohd Fared berkata fatwa berkaitan GISBH akan dikeluarkan MAINJ selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, dengan kertas kerja mengenainya sedang diperhalusi dan akan disemak Jabatan Mufti Johor sebelum dibawa ke mesyuarat MAINJ.
Sebelum ini Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman GISB adalah sesat dan menyeleweng.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.