KUCHING: Permainan kutu yang membabitkan sekumpulan orang menyimpan wang boleh dikenakan cukai pendapatan sekiranya ia dianjurkan bertujuan mendapatkan keuntungan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi, perkara itu antara yang mungkin diteliti dalam program pengakuan secara sukarela selama setahun mulai Jun depan.
Menurutnya, walaupun secara asasnya permainan kutu secara tradisional tidak dianggap sebagai pendapatan kerana sekumpulan orang akan mengumpul wang yang dipegang oleh seorang ketua dan setiap penyimpan akan mendapat bahagiannya mengikut giliran dalam jumlah yang disimpannya sahaja tanpa membuat keuntungan.
Bagaimanapun katanya, kini ada kaedah moden dalam permainan kutu, termasuk yang menawarkan dividen.
“Main kutu tradisional tidaklah dianggap sebagai pendapatan, kerana jika (ahli kumpulan) berkongsi giliran (untuk mendapatkan wang yang disimpan) ia tidak tertakluk kepada cukai.
“Tetapi sekarang ada pula permainan kutu yang secara umumnya satu pendapatan dan jika ada unsur keuntungan, ia memang tertakluk kepada cukai,” katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media Sarawak di sini, malam tadi.
Mohd Nizom berkata, program pengakuan sukarela yang akan dimulakan pada 1 Jun ini sehingga 31 Mei 2024 memberi peluang kepada pembayar cukai atau yang belum pernah membayar cukai yang tahu mereka ada pendapatan untuk membuat semakan.
Menurutnya, ia mungkin disebabkan mereka terlepas melaporkan, terkurang bayar atau ada kesilapan pembayaran untuk tahun-tahun kebelakangan.
“Tahun-tahun di mana mereka melaporkan secara sukarela itu tidak akan diaudit. Kadang-kadang pembayar cukai sedia ada pun mungkin ada yang tertinggal melaporkan (pendapatan) atau kurang melaporkan, bolehlah datang dan LHDN tidak akan membuka semula (fail cukai) bagi tahun-tahun yang dilaporkan secara sukarela.
“Jadi mulai sekarang, orang ramai bolehlah periksa pendapatan masing-masing yang mungkin tertinggal untuk dilaporkan dan datanglah secara sukarela di mana-mana pejabat cawangan LHDN tanpa dikenakan penalti atau pada kadar kosong peratus,” katanya.