Tumpuan :
Nasional

MAIDAM sedia bantu anak-anak GISBH kembali ke pangkal jalan

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedia memberi bantuan kepada anak-anak pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) meliputi aspek pendidikan dan kemahiran sekiranya perlu.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, anak-anak itu akan diberi bantuan selayaknya jika memenuhi kriteria yang ditetapkan MAIDAM untuk membantu mereka memulakan hidup baharu.

“Jabatan agama dan polis masih menjalankan siasatan pegangan mereka, sekarang ini tak dapat kesan anak-anak mereka, memang kita jaga serta bagi bantuan kalau mereka kembali insaf.

“Apa yang penting ialah mereka perlu insaf dahulu dan kemudiannya kita pertimbangkan bantuan sama ada pendidikan, kemahiran atau perniagaan agar mereka boleh berdikari semula,” katanya.

Tambahnya, hasil pemantauan yang dilakukan dengan Polis Diraja Malaysia mendapati tiada anak-anak pengikut GISB (yang terabai) kini berada di Terengganu.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan terdapat ahli GISBH yang mempunyai 34 anak namun hanya dua anak yang tinggal bersamanya.

Siasatan juga mendapati kebanyakan mereka telah didoktrin agar tidak mengakui anak mereka kerana tidak mahu dikaitkan dengan kesalahan pengabaian dan kebajikan kanak-kanak di rumah amal tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini