Tumpuan :
Nasional

Mahu angkat martabat ekonomi dan negara, tidak boleh bicara hal remeh – PM

Anwar (tengah) bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (kiri) dan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (kanan) melancarkan Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). FOTO: NSTP

Oleh: Fareez Azman, Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Semua pihak diingatkan untuk terus memberi tumpuan kepada usaha memartabatkan ekonomi negara demi mencapai kemajuan yang lebih besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha berterusan dalam pelbagai sektor sangat penting untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia, bukannya terperangkap dalam isu-isu remeh yang hanya merugikan.

“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas inisiatif ini. Ia amat penting untuk kita mengangkat martabat ekonomi dan negara. Kita tidak boleh berlengah lagi,” katanya.

Beliau menambah, dalam usaha tersebut, semua pihak perlu mengelakkan diri daripada terlalu fokus kepada perkara-perkara kecil yang hanya akan melemahkan kekuatan negara.

“Tidak boleh kita terhanyut dengan hal-hal remeh yang hanya merosakkan kekuatan kita,” tambahnya.

Ucapan Perdana Menteri ini disampaikan di Forum Ekonomi Malaysia (FEM 2025) di ibu negara pada hari ini.

Anwar turut menekankan pentingnya kerajaan untuk bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan demi kepentingan rakyat, mengurus ekonomi dengan baik dan meningkatkan kerjasama antara semua pihak.

“Ini adalah peluang terbaik untuk kita membawa perubahan. Kita perlu menguruskan ekonomi dengan lebih baik, berusaha lebih gigih, dan fokus dalam menjalankan tugas masing-masing,” ujar beliau.

Beliau juga menekankan keperluan untuk mengakui kelemahan, termasuk dalam kalangan anggota kerajaan, demi membawa perubahan yang memberi manfaat kepada semua.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini