KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Aman Palestin untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 11 akaun banknya.
Hakim Datuk Amarjeet Singh, membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara yang mewakili SPRM.
Dalam keputusannya, Amarjeet berkata kes berkenaan membabitkan perkara yang tidak boleh dibawa dan didengar melalui prosiding semakan kehakiman.
Menurut Amarjeet, ia adalah kerana kuasa untuk mengeluarkan perintah pembekuan adalah sebahagian daripada proses siasatan jenayah.
“Ia sudah diputuskan oleh mahkamah tertinggi sebelum ini yang mana mahkamah ini terikat dengan keputusan itu, bahawa kuasa berhubung proses penyiasatan jenayah tidak boleh dibawa melalui semakan kehakiman,” katanya.
Hakim itu berkata demikian dalam keputusannya melalui e-mel.
Aman Palestin diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Nur Irmawatie Daud bertindak bagi pihak SPRM.
Aman Palestin memfailkan permohonan kebenaran itu pada 31 Januari lalu, dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; dua pegawai SPRM, Mohd Afiq Mohammed Hassan dan Muhammad Zuhdi Mohd Yusoff; SPRM; dan kerajaan selaku responden pertama hingga ketujuh.
Dalam permohonan itu, Aman Palestin memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama hingga keenam berhubung perintah pembekuan bertarikh 24 November 2023 terhadap 11 akaun bank miliknya.
Ia turut memohon SPRM mengubah perintah pembekuan supaya wang berjumlah RM11,026,215.60 dinyahbekukan dengan serta-merta bagi tujuan perbelanjaan harian, penggajian pekerja, pentadbiran, operasi dan misi bantuan pemohon bagi tempoh tiga bulan ke hadapan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.