KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan perintah reman mengikut Seksyen 23 akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikenakan terhadap pasangan pempengaruh semalam.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata setelah memeriksa rekod prosiding hari ini, Mahkamah berpendapat Majistret Putrajaya telah mematuhi semua kanun acara jenayah.
“Isu tiada kaitan antara Orang Yang Disyaki (OYDS) dengan Seksyen siasatan tidak ada merit,” katanya.
Beliau berkata apa-apa kesalahan jika ada boleh ditentukan selepas siasatan selesai.
“SPRM sepatutnya dibenarkan menjalankan siasatan keatas,” katanya.
Permohonan semakan itu difailkan peguam Abdul Rahim Ali yang mewakili pasangan pempengaruh itu.
Abdul Rahim memberikan alasan Seksyen 23 Akta SPRM memperuntukkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
“Dalam peruntukan ini, pegawai badan awam telah ditakrifkan secara khusus, iaitu mana-mana anggota pegawai awam, dalam kes ini anak guam saya bukan penjawat awam dan syarikat mereka Hijanah Haul Holdings Sdn Bhd tidak mempunyai kepentingan awam,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib permohonan peguam OYDS adalah mengelirukan dan pramatang.
“Seksyen 23 Akta SPRM dalam kes ini hanya permulaan siasatan. Apabila siasatan dijalankan semua prosedur-prosedur dibenarkan dibawah undang-undang boleh dilakukan,” katanya ketika prosiding.
Akram memohon mahkamah membenarkan proses siasatan dijalankan dan reman ini diperlukan untuk melengkapkan siasatan.
Beliau berkata sebanyak 13 program telah disediakan di platform Jom Donate untuk kutipan derma.
“Antaranya, Program Pek Makanan M&M, Program Infaq Al Quran M&M, Pakaian Raya Asnaf, Program Sedekah Qurban, Program Infaq Qurban, Program Infaq Banjir, Program Bantuan Banjir, Program Infaq Kurma dan Program Pek Makanan M&M.
“Namun, masih terdapat beberapa program yang masih belum dikenalpasti untuk kutipan derma melalui pasangan itu. Mereka juga gagal mengemukakan transaksi kewangan bagi setiap program tersebut,” katanya.
Pasangan pempengaruh yang juga suami isteri itu ditahan SPRM pada Rabu, 10 Julai lepas, dan direman empat hari sehingga 14 Julai bermula semalam.
Turut direman empat hari ialah dua lelaki daripada pengendali platform kutipan derma dalam talian.
Perintah tahanan reman terhadap mereka dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa