NARATHIWAT: Mahkamah Wilayah Narathiwat hari ini membenarkan pihak berkuasa Thailand menahan enam rakyat Malaysia yang ditahan dalam serbuan di Golok, Jumaat lalu, untuk tempoh sehingga tiga bulan atau 84 hari.
Jurucakap mahkamah berkata, perintah tahanan ini diberikan bagi membolehkan polis meneruskan siasatan kes tersebut.
Menurut jurucakap itu, keputusan dibuat pada tengah hari ini, dan keenam-enam suspek akan kekal dalam tahanan mahkamah hingga jam 4 petang (waktu Thailand).
“Dari sini, mereka akan dihantar ke penjara Narathiwat untuk penahanan lanjut selama hingga 84 hari atau tiga bulan.
“Ini adalah bagi membolehkan polis Thailand menjalankan siasatan ke atas kes tersebut. Dalam tempoh 84 hari ini, Pegawai Penyiasat boleh menyoal siasat keenam-enam suspek setiap 12 hari,” kata jurucakap itu.
Jurucakap itu juga berkata polis hanya boleh meneruskan kes terhadap keenam-enam suspek selepas terdapat bukti mencukupi dalam kes tersebut.
“Sepanjang perintah tahanan ini, keluarga suspek boleh memohon supaya mereka dibebaskan dengan jaminan, namun jumlahnya akan ditentukan oleh mahkamah,” tambahnya.
Di bawah undang-undang Thailand, mereka yang didapati memiliki 6,000 pil boleh dihukum penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda 200,000 baht (RM25,880).
Sementara itu, jurucakap polis Thailand berkata mereka sedang memburu dua lagi suspek yang melarikan diri semasa serbuan di sebuah hotel di bandar Sungai Golok minggu lalu.
Difahamkan kedua-dua suspek itu juga berasal dari Malaysia dan dikenali oleh keenam-enam individu yang ditahan.
Laporan menyatakan bahawa enam warga Malaysia, termasuk seorang penyanyi dikir barat moden yang popular, telah ditahan di selatan Thailand kerana memiliki 6,000 pil di bandar Sungai Golok pada Jumaat lalu.
Keenam-enam suspek ditahan di sebuah hotel sekitar jam 6 pagi. Mereka dipercayai pergi ke Thailand sempena cuti Deepavali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.