Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 20 Februari nanti untuk sesi mendengar hujahan lanjut mengenai isu pertikaian pemindahan tanah seluas 106 hektar di ibu negara, yang dikenali sebagai Duta Enclave, kepada Semantan Estate Sdn Bhd.
Panel tiga Hakim yang diketuai Datuk Lee Swee Seng menetapkan tiga soalan undang-undang dan memberikan tempoh masa kepada peguam pihak kerajaan dan Semantan Estate untuk mengemukakan hujahan bertulis masing-masing.
Tiga soalan yang dikemukakan adalah berkaitan sama ada Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Seksyen 8 Akta Relief Spesifik 1950 menghalang mahkamah daripada mengeluarkan perintah mandamus dan perintah di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965 untuk memberi milikan tanah berikutan perintah mahkamah pada 7 Ogos, atau sama ada kedua-dua peruntukan ini adalah tidak berperlembagaan di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
Soalan kedua adalah berkaitan sama ada, sebagai ganti perintah pemindahan hak milik kepada Semantan Estate dan penyerahan milikan, Mahkamah Rayuan boleh mengarahkan pemberian ganti rugi dengan arahan agar penilaian ganti rugi tersebut dibuat berdasarkan nilai pasaran semasa tanah tersebut;
Manakala soalan ketiga sama ada Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa untuk merujuk perkara ini semula ke Mahkamah Tinggi dengan arahan untuk penilaian ganti rugi di bawah prosiding semakan kehakiman atau rayuan berdasarkan perintah Seksyen 417.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, berkata pendirian kerajaan adalah bahawa Mahkamah Rayuan tidak boleh mengarahkan pemindahan milik hartanah kepada Semantan Estate melalui perintah mandamus atau Seksyen 417.
“Semantan Estate hanya berhak menerima ganti rugi,” katanya.
Ini kerana terdapat bangunan kerajaan dan kemudahan yang telah dibina di atas tanah tersebut.
Kerajaan dalam proses rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu yang mengarahkan pendaftar tanah Kuala Lumpur untuk memindahkan pemilikan tanah tersebut kepada Semantan Estate.
Sementara itu, Semantan Estate turut membuat permohonan mandamus iaitu perintah pemindahan hak milik mengikut keputusan Mahkamah Tinggi.
Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pelikuidasi Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah yang menempatkan beberapa kompleks bangunan kerajaan kepada syarikat berkenaan.
Pada tahun 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan, mendakwa berlaku pencerobohan disebabkan pengambilan tanah secara haram daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman, Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan berfaedahnya dalam tanah itu yang telah diambil secara tidak sah oleh kerajaan.
Kerajaan kemudian memfailkan rayuan, namun ia ditolak pada 18 Mei 2012.
Kemudian pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu, berhubung keputusan itu.
Enam tahun kemudian iaitu pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.
Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi 2009.
Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah itu
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.