comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan DBKL kembalikan DO projek Taman Rimba Kiara


PUTRAJAYA : Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengembalikan perintah pembangunan (DO) projek kontroversi Taman Rimba Kiara.

Dalam prosiding yang dijalankan secara atas talian, Hakim Besar Malaya, Zabidin Mohd Diah bersama Hakim Nallini Pathmanathan dan Rhodzariah Bujang sebulat suara memutuskan tiada merit dalam rayuan itu.

DO berkenaan dikeluarkan DBKL pada 13 Julai 2017 bagi projek pembangunan lapan blok pangsapuri servis, pangsapuri 29 tingkat membabitkan 350 unit rumah mampu milik yang akan dibina di atas tanah itu.

Panel hakim turut mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2021 yang membenarkan 12 penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mengetepikan DO terbabit.

Pada 2021, Mahkamah Rayuan menolak perintah pembangunan Taman Rimba Kiara selepas ia memihak kepada semakan kehakiman penduduk TTDI.

Ketika membacakan keputusan penghakiman, Nallini berkata DO berkenaan harus diketepikan kerana terdapat konflik kepentingan apabila “Datuk Bandar” (DBKL) menjadi ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Wilayah Persekutuan yang merupakan salah seorang empat perayu hari ini.

Selain DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan, dua lagi perayu ialah pemaju projek terbabit, Memang Perkasa Sdn Bhd (Memang Perkasa), dan sebuah persatuan yang mewakili penduduk rumah panjang di Taman Rimba Kiara.

Nallini berkata apabila yayasan itu menjalin usaha sama dengan Memang Perkasa sebelum pemberian hak milik tanah itu, Datuk Bandar mengetahui daripada Rancangan Struktur KL 2020 bahawa penggunaan tanah itu adalah sebagai kawasan hijau untuk kegunaan awam.

Hakim menegaskan pemberian hak milik tanah kepada yayasan sempena perjanjian usaha sama itu akan memerlukan perubahan dalam penggunaan tanah kepada pembangunan bercampur, tetapi tiada pematuhan kepada Akta Wilayah Persekutuan dari segi perubahan atau pindaan kepada Rancangan Struktur KL 2020 .

“Oleh itu Datuk Bandar memakai tiga ‘topi’ dalam tiga kapasiti: Datuk Bandar adalah sebahagian daripada entiti yang meluluskan pemberian hak milik tanah subjek; Datuk Bandar juga merupakan sebahagian daripada pemohon kebenaran merancang iaitu yayasan kerana ia merupakan ahli lembaga pemegang amanah yayasan; dan Datuk Bandar juga merupakan entiti yang memberikan perintah pembangunan yang dipertikaikan,” katanya.

 

 

Loading...
Terkini