comscore
Tumpuan :
Nasional

MAHB rekod 36.1 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) merekodkan 36.1 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga 2024 mewakili peningkatan 10.6 peratus dari tahun ke tahun berbanding 32.6 juta penumpang pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Pengendali lapangan terbang itu melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan, prestasi ini menghampiri paras pra-pandemik, mencecah 97.7 peratus daripada trafik penumpang yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2019.

“Jumlah penumpang antarabangsa telah melepasi paras suku ketiga 2019 sebanyak 7.4 peratus, dengan 18.9 juta penumpang,” katanya.

“Sebaliknya, sektor domestik mengalami pertumbuhan lebih sederhana, mencatatkan 17.2 juta penumpang dan mencapai 88.9 peratus daripada paras yang disaksikan pada 2019,” katanya lagi.

MAHB berkata, prestasi trafik yang bertambah baik ini, sebahagian besarnya telah didorong oleh pergerakan penumpang antarabangsa, pengenalan syarikat penerbangan serta laluan baharu, pengecualian visa untuk pelancong dari China dan India, termasuk kenaikan yang stabil dalam permintaan perjalanan udara.

Rangkaian lapangan terbang tempatan kumpulan itu menunjukkan prestasi memberangsangkan menjelang suku ketiga 2024, dengan pergerakan penumpang antarabangsa secara konsisten melepasi empat juta setiap bulan.

“Secara keseluruhan, angka trafik penumpang di lapangan terbang di Malaysia bagi suku ketiga 2024 mencapai 24.8 juta, mewakili 92.3 peratus daripada paras yang dicerminkan semasa 2019,” ia berkata.

Sementara itu, MAHB berkata asetnya di Turkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, merekodkan 11.3 juta penumpang pada S3 2024, peningkatan 12.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019.

“Pertumbuhan ini didorong oleh pergerakan penumpang antarabangsa, dengan 1.9 juta penumpang pada September, menokok 43.7 peratus daripada paras 2019,” katanya.

MAHB menambah, pergerakan penumpang domestik mencecah 5.4 juta, naik 2.7 peratus daripada suku sebelumnya, dan pergerakan penumpang dijangka kekal teguh, didorong oleh pengembangan rangkaian serta permintaan bermusim.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini