Tumpuan :
Nasional

MAHB kekal aset strategik negara walaupun selepas diswastakan – MOF

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan kekal beroperasi sebagai aset strategik negara walaupun selepas syarikat itu diswastakan nanti.

Menteri Kewangan (MOF) menjelaskan, peranan MAHB kekal terhad kepada pengoperasian lapangan terbang di bawah seliaannya, yang mana kesemua 39 lapangan terbang di Malaysia kekal berada di bawah pemilikan kerajaan, seperti termaktub dalam perjanjian pengoperasian.

Tegasnya, kerajaan juga tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan negara meskipun selepas pengambilalihan ini dimuktamadkan kelak.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, urusan keluar masuk dalam negara akan dikendalikan oleh pelbagai agensi dan jabatan termasuk Jabatan Kastam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Soal keselamatan di darat dan kawasan awam di sekitar lapangan terbang pula adalah di bawah bidang kuasa Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sementara, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pula bertanggungjawab dari segi keselamatan di udara serta kawasan pengendalian bagasi. Selain itu, MAHB akan kekal dikawal selia oleh agensi seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang mahu tahu status terkini berkenaan penjualan saham MAHB dan langkah Kerajaan memastikan kepentingan strategik negara terus terpelihara.

Mengulas lanjut, Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak menjual saham dalam MAHB, sebaliknya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan UEM Group Berhad akan meningkatkan pegangan saham terkumpul di dalam MAHB daripada 41 peratus kepada 70 peratus.

“Kedaulatan dan kepentingan negara akan terus terjamin memandangkan konsortium ini diterajui syarikat-syarikat GLIC menerusi pemilikan majoriti saham 70 peratus.

“Kerajaan juga melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) akan mengekalkan pegangan Saham Khas atau Golden Share dalam MAHB.

“MKD selaku pemegang saham khas MAHB, berhak dari semasa ke semasa melantik pengarah MAHB, termasuk seorang pengerusi dan seorang Pengarah Urusan MAHB. Ini akan memastikan segala keputusan strategik yang diambil konsortium ini selari dengan kepentingan negara,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) yang diterajui UEM Group Berhad dan KWSP pada 4 Februari lalu mengumumkan berjaya mencatatkan kadar penerimaan yang sah sebanyak 96.74 peratus daripada pemegang saham MAHB.

Katanya, ia sekaligus memenuhi syarat penerimaan tawaran dan menjadikan tawaran tersebut tidak lagi bersyarat atau ‘unconditional’.

“Oleh kerana GDA sudah memiliki lebih daripada 90 peratus saham MAHB dan tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraian MAHB di Pasaran Utama, urus niaga dagangan saham MAHB akan dihentikan pada 20 Februari ini, iaitu lima hari dagangan setelah tarikh akhir penerimaan tawaran yang dijadualkan pada 12 Februari ini.

“Selepas itu, MAHB akan memulakan langkah dan prosedur yang diperlukan untuk dinyahsenaraikan daripada Pasaran Utama,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini