comscore
Tumpuan :
Nasional

Mahasiswa harus diberi kepercayaan penuh merangka garis panduan aktiviti hiburan 

Foto hiasan

Oleh: Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Mahasiswa harus diberi kepercayaan penuh untuk merangka garis panduan penganjuran aktiviti hiburan seiring dengan keperluan semasa.

Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nazirah Abdullah ketika dihubungi Buletin TV3 berkata, pihaknya kini dalam proses merangka garis panduan untuk melancarkan aktiviti hiburan dan kesenian di peringkat universiti dan kolej.

Menurutnya, KMUM tidak setuju jika pengisian garis panduan yang ditetapkan sama seperti yang telah tular di media sosial beberapa hari lalu.

“Berdasarkan penyebaran garis panduan yang tular itu, ia lebih berbentuk sekatan dan mempunyai banyak peringkat tapisan.

“Malah, terdapat banyak perkara tidak dipersetujui oleh pihak kami membabitkan pengisian yang ada dalam buku garis panduan berkenaan,” katanya.

Jelasnya, KMUM berpegang kepada prinsip untuk tidak sama sekali menyokong isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), selain sensitiviti agama seperti mana yang dilampirkan.

“Pihak kami juga telah berbincang dengan pengurusan Universiti Malaya dan autonomi sepenuhnya harus diberikan semenjak adanya agenda pemerkasaan mahasiswa dalam fasa ke-2 yang turut menekankan permohonan aktiviti dan program pelajar boleh diluluskan oleh wakil pelajar.

“Dan apa yang menjadi persoalannya sekarang, kenapa garis panduan ini seolah-olah tidak diberikan autonomi untuk wakil pelajar membuat keputusan?,” katanya.

Jumaat lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada mahasiswa dan pengurusan setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menentukan garis panduan bagi sebarang aktiviti hiburan yang ingin diadakan dalam proses merangka garis panduan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya lebih cenderung kepada isu pemerkasaan mahasiswa dan memberi bayangan bahawa KPT tidak akan menyediakan sebarang garis panduan tertentu.

Mohamed Khaled berkata demikian selepas ditanya mengenai Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di IPT di bawah KPT dikeluarkan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang tular sejak beberapa hari lalu.

Loading...
Terkini