Tumpuan :
Nasional

MAHA 2024: 13 MoU bernilai lebih RM20 juta dimeterai

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Muhamad Sabu (kanan) bersama Arthur (dua dari kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah (tengah) ketika meninjau persiapan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang. – FOTO: NSTP

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang membuka tirai hari ini menyaksikan sebanyak 13 memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai dengan nilai mencecah RM21.3 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata apa yang dikecapi pada hari pertama MAHA 2024 adalah sesuatu yang dibanggakan.

Daripada 13 MoU itu, beliau berkata, ia merangkumi pembabitan kerjasama strategik antara 10 syarikat dan institusi tempatan serta lapan syarikat dari luar negara.

Katanya, kebanyakan pemain industri yang terbabit dengan MoU berkenaan mencakupi sektor berkait tanaman nanas.

“Di Malaysia, untuk memastikan kecekapan dan kemampanan pengeluaran makanan dalam komoditi dan industri, mengadaptasi teknologi moden dan amalan pertanian terbaik adalah pendekatan amat penting.

“Justeru, dengan pelaburan dan kolaborasi yang besar, pengeluaran makanan yang mampan ditetapkan untuk memangkin pembangunan industri hiliran boleh mewujudkan kesan berganda yang positif.

“Usaha ini perlu ditunjangi oleh sektor swasta untuk mencapai kejayaan yang berpanjangan. Untuk itu, kolaborasi melalui MoU ini memainkan peranan mustahak dalam mengukuhkan lagi persaingan dalam sektor pertanian di peringkat global.

“Melalui kerjasama antara entiti tempatan dan antarabangsa, MoU seperti ini membolehkan usaha dari aspek pertukaran kepakaran, teknologi dan sumber, memacu inovasi dan amalan mampan dalam sektor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran MoU itu sempena MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

MAHA 2024 yang berlangsung selama 12 hari bermula hari ini, mengetengahkan tema ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’, sekali gus menandakan penganjuran kali ke-100 acara dwitahunan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini