comscore
Tumpuan :
Nasional

MAHA 2022 Capai Sasaran Sejuta Pengunjung

KUALA LUMPUR : Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang akan berakhir esok berjaya mencapai sasaran satu juta pengunjung hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau menerusi catatan di laman Facebook hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang menyokong MAHA dan menjadikan penganjuran kali ini sangat meriah.

Ismail Sabri turut berkongsi mengenai lawatan beliau buat kali kedua ke MAHA 2022 bagi mengunjungi pavilion semua negeri untuk melihat produk-produk keluaran, makanan serta kebudayaan setiap negeri. 

“Gembira dapat melihat begitu ramai hadir bersama keluarga dengan semangat Keluarga Malaysia…Seronok dapat bertegur sapa dengan mereka termasuk terserempak dengan Haziq ‘ulaq besar’.

“Hampir tiga jam saya di MAHA namun banyak lagi tempat yang belum sempat dilawati,” tambah Perdana Menteri. 

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerusi Facebook beliau berkata, jumlah pengunjung secara fizikal MAHA 2022 telah melebihi satu juta pengunjung. 

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Fatin Nur Aqilah kerana berjaya menjadi pengunjung secara fizikal MAHA 2022 yang ke 1,000,000 dan membawa pulang wang tunai RM2,000 dan baucar bernilai RM1,000. 

“Hadiah lagi istimewa menanti pengunjung secara fizikal ke-1,100,001. Terima kasih #KeluargaMalaysia atas sokongan hadir ke MAHA 2022,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini