comscore
Tumpuan :
Nasional

MAEPS Akan Jadi Tarikan Pelancong, Pameran Dan Aktiviti Agromakanan Diteruskan

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee. FOTO : Dr Ronald Kiandee / Facebook

SERDANG : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan meneruskan pameran serta aktiviti berkaitan agromakanan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, sebagai permulaan pihaknya akan menjadikan laman padi sebagai ‘anak angkat’ melalui Bahagian Pembangunan Industri Padi bersama Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS).

“Laman padi itu akan dijadikan sebagai tapak agropelancongan kekal bagi dipromosikan sepanjang tahun dan bukan ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) dilaksanakan sahaja.

“Itu adalah pendekatan baharu yang akan diambil maklum oleh pihak pengurusan MAFI untuk menjadikan MAHA sebagai satu ekspo yang berprestij dan jadi ingatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan MAHA 2022 di MAEPS di sini.

Beliau berkata ini kerana apabila setiap kali MAHA berakhir, MAEPS akan menjadi sunyi dan sepi.

Terdahulu, sebagai tanda penghargaan kepada agensi, jabatan serta pempamer dalam menjayakan MAHA 2022, beliau menyampaikan tiga anugerah khas iaitu Anugerah Pavilion Negeri Terbaik, Anugerah Segmen Paling Viral dan Anugerah Jualan Paling Tinggi.

Bagi menampilkan kelainan pada edisi MAHA 2022, satu lagi Anugerah Istimewa diberikan kepada pengunjung pameran ke 1,100,001 yang dimenangi oleh Yaakob Man@Othman, 67, pesara kerajaan dari Pulau Pinang. – BERNAMA

Loading...
Terkini