Oleh: Fatin Hanani Sahimi
PUTRAJAYA: Industri madu kelulut kini semakin mendapat perhatian sebagai komoditi baharu yang berpotensi tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa, berkata, berdasarkan statistik Jabatan Pertanian, pengeluaran madu kelulut di Malaysia mencecah sehingga hampir 146 kilogram dengan nilai melebih RM21 juta.
“Kelulut ini mempunyai potensi yang besar, di mana terdapat banyak produk hiliran yang boleh dihasilkan daripada madu kelulut, termasuk produk kecantikan dan kosmetik, selain hasil lain yang baik untuk kesihatan.
“Saya kira, ini juga memberi peluang kepada beberapa komuniti di Putrajaya untuk mengembangkan lagi usaha mereka dalam industri pendirian madu kelulut.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya 2025 (HTPBKP2025) di Taman Botani Putrajaya hari ini.
Menurutnya lagi, Pelan Induk Pertanian Bandar Putrajaya 2030 juga dilancarkan sebagai panduan strategik untuk memajukan sektor pertanian bandar dalam menyokong pertumbuhan ekonomi setempat dengan merangkumi tiga teras utama dan 17 tindakan.
“Taman Botani akan dijadikan pusat latihan bagi individu yang berminat menceburi bidang pertanian bandar.
Dengan melibatkan komuniti, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan teknologi, kita dapat melihat unjuran penghasilan produk yang sangat tinggi.
“Sebagai contoh, pada tahun lepas, komuniti telah berjaya menghasilkan produk bernilai sehingga RM100,000. Saya yakin ini akan terus berkembang, kerana setakat ini kita mempunyai sepuluh kebun, dan dalam pelan tindakan akan datang, kita berhasrat untuk mengembangkan lagi pertanian bandar ini ke setiap komuniti di Putrajaya,” ujarnya.
Bertemakan, ‘Jom Bertani Komuniti Madani’ HTPBKP2025 yang berlangsung dua hari bermula hari ini, mensasarkan seramai 1,000 orang pengunjung pada setiap hari penganjuran.
Penganjuran juga memberi peluang kepada komuniti di bandar mempelajari teknik pertanian moden bagi kelangsungan hidup, menjaga kelestarian alam sekitar dengan menggalakkan amalan mesa alam seperti penanaman tanaman secara organik.
Selain itu memberi pendedahan penggunaan semula sisa dapur sebagai baja kompos dan meningkatkan keselamatan makanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.