Oleh: Safwan SawiSANDAKAN: Bangunan Madrasah Al Fattah di Kampung Sungai Tiram, Batu 19, di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Kejadian jam 1.33 pagi itu tidak membabitkan kemalangan jiwa selepas 22 pelajar di madrasah berkenaan sempat menyelamatkan diri.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bangunan madrasah berkenaan terbakar seratus peratus.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air jentera dan air terbuka.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 3.34 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
Operasi pemadaman yang membabitkan seramai 15 anggota termasuk pegawai dengan tiga jentera bomba tamat jam 4.19 pagi.