KUALA LUMPUR: Tuaian padi hujung tahun oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sudah meredakan bekalan beras putih tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata beras tempatan semakin mendapat permintaan penduduk negara ini berikutan kenaikan harga beras import hingga timbul pembelian panik baru-baru ini.
Katanya, penyelesaian itu kekurangan beras tempatan sedang dilakukan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk sepanjang masa.
“Isu ini reda. Cuma sekarang punca beras kita tidak mencukupi kerana tahap sara diri negara baru 65 peratus dan masih 35 peratus lagi belum mencukupi.
“Difahamkan MADA baru saja tuai padi. Proses seterusnya menjemur, mengilang sebelum beras tersedia di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Lawatan Kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat di sini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengesan trend pengguna beralih daripada membeli beras import kepada beras tempatan disebabkan India menghentikan eksport.
Mohamad berkata, isu keterjaminan makanan tidak akan berkesudahan termasuk bekalan ayam, telur dan mungkin selepas ini mungkin berlaku kekurangan bawang.
“Masalah membabitkan makanan ini tidak akan berkesudahan dan bekalan beras masih ada gangguan,” katanya.