Tumpuan :
Nasional

MA63: PM Prihatin terhadap impian penduduk Sabah – Shafie

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Status terkini Perjanjian Malaysia (MA63) bukti keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap impian penduduk Sabah yang sudah lama ingin melihat perjanjian itu dilaksanakan, kata Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sambil menzahirkan penghargaan dan menyambut baik kemas kini MA63 itu, Shafie menyifatkan ia bukti komitmen Kerajaan Persekutuan kini untuk memartabatkan MA63.

“Ini adalah satu berita baik dan menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan sekarang untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.

“Parti Warisan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap impian penduduk Sabah yang sudah lama ingin melihat Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan.” Katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam sidang media hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama tahun ini mengumumkan Kementerian Kewangan bersetuju supaya pelaksanaan mana-mana projek dengan kos di bawah RM50 juta di Sabah dan Sarawak, diputuskan hampir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan perlu mematuhi peraturan kewangan.

Ia termasuk jaminan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan ditingkatkan.

Loading...
Terkini