Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR : Isu agihan perbelanjaan tahunan serta lantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah antara perkara utama dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berjaya diselesaikan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kerajaan juga bersetuju memulangkan kuasa untuk pelaksanaan perbelanjaan, bagi pembangunan infrastruktur awam kepada Sabah dan Sarawak, menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri masing-masing.
Anwar turut menjelaskan, selain itu Kerajaan Persekutuan juga akan membiayai projek pembinaan infrastruktur awam di Sabah dan Sarawak, dengan keseluruhan peruntukan diagihkan kepada kerajaan negeri secara bersyarat, iaitu perlu melalui pengawasan dan peraturan kewangan ketat serta dipantau Kementerian Kewangan.
“Peruntukan tahunan misalnya, Sarawak selama ini hanya menerima RM16 juta dan jumlah berkenaan dianggap tak munasabah bagi mereka,
“Justeru, (kita) ada format dan peraturan bagi meningkatkan peruntukan berkenaan kepada RM300 juta setahun, tertakluk kepada beberapa perincian perjanjian.”
Perdana Menteri berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di ibu negara.
Ujar Anwar lagi, perkara itu penting untuk diselesaikan, bagi membuktikan yang kerajaan serius dalam menunaikan janji dimeterai dalam MA63.
Selain menegaskan sebahagian besar peruntukan dalam Perjanjian MA63 yang berlarutan lebih 60 tahun, berjaya diselesaikan semasa mesyuarat majlis tindakan pelaksanaan MA63 yang disertai Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, pada jumaat lalu.
Ia dapat diselesaikan menerusi sokongan dan semangat perpaduan semua gabungan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menerusi ucapannya turut menegaskan kerajaan akan sentiasa memastikan tadbir urus yang baik dengan menegakkan prinsip integriti terutamanya menolak amalan rasuah bagi memastikan perancangan kemajuan negara berjaya direalisasi.
Semua pihak yang menganggotai kerajaan telah diberi hala tuju jelas berhubung perkara itu.
“Kita bagi peraturan yang jelas, kalau mahu kuat (stabil) dan mendapat sokongan rakyat, pemimpin mesti tolak rasuah dan salah guna kuasa.”
“Dalam hal ini saya tegas, kalau mahu kaya, keluar dan jadi orang berniaga bukan jadi menteri, kerana jika demikian negara akan rosak,”
Menerusi Malaysia Madani, Perdana Menteri yakin potensi besar negara hanya boleh dioptimumkan jika prinsip integriti ditegakkan, tiada amalan rasuah, selain pemimpin tidak berlumba mengumpul kekayaan.
Menerusi pemerhatiannya dalam tempoh dua bulan ini, Datuk Seri Anwar menyifatkan semua jemaah menteri konsisten melaksanakan tadbir urus baik.
Justeru, beliau menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan kerajaan menerusi gabungan pelbagai parti itu.