PETALING JAYA: Kejadian orang tersesat atau hilang di dalam hutan bukanlah sesuatu yang baharu. Dalam sesetengah kes, ada individu yang tersesat selama berhari-hari, malah ada juga yang langsung tidak ditemui.
Namun begitu, dengan ilmu dan latihan yang cukup, seseorang itu mampu berdepan dengan situasi kecemasan dan mencabar tersebut dengan lebih tenang dan berkesan.
Menggelarkan diri mereka sebagai ‘Team Pendekar Rimba’, sekumpulan jurulatih ‘survival’ yang dipimpin bekas anggota Grup Gerak Khas (Komando), Mohd Sofian Ujan Empatie dilatih dengan pelbagai ilmu dan teknik ikhtiar hidup di dalam rimba.
Salah satunya ialah ikhtiar mencari makanan. Tumbuhan merupakan antara sumber makanan paling mudah diperoleh di dalam hutan seperti cendawan.
Namun, tidak semua tumbuhan boleh dimakan terus kerana ada di antaranya perlu diproses terlebih dahulu sebelum dimakan seperti buah pokok enau atau palma. Umbut palma juga boleh dikeluarkan untuk dijadikan sumber makanan.
Sumber makanan juga boleh diperolehi dengan kaedah memburu haiwan. Pemasangan jerat seperti jerat jenis berlantai boleh diletakkan di kawasan denai laluan haiwan .
Bukan sahaja ia sesuai untuk haiwan yang berjalan seperti rusa dan kancil, kebarangkalian haiwan ini untuk terkena jerat juga adalah tinggi kerana kekerapan haiwan menggunakan laluan tersebut.
Selain sumber makanan dan air, antara keutamaan lain dalam ikhtiar hidup di hutan adalah sumber api. Terdapat pelbagai cara boleh digunakan untuk mendapatkan api.
Namun, kaedah primitif menggunakan gerudi tangan dengan asas rabuk dan serpih bunga jarau adalah yang paling diketahui umum. Kaedah tradisional zaman melayu klasik menggunakan peralatan seperti gobek juga boleh dipraktik untuk memulakan api.
Prinsip gobek sebagai pemetik api tradisional menggunakan teknik pemampatan udara. Melalui beberapa siri tekanan, udara akan dimampatkan sehingga menghasilkan kepanasan dan menjadikan rabuk muding kepada bara pemula api.
Membina tempat perlindungan juga adalah penting, lebih-lebih lagi apabila hari sudah menjelang petang.
Antara faktor pemilihan lokasi ialah keselamatan daripada binatang berbisa, risiko ranting jatuh dan punca sumber asas. Untuk membina tempat perlindungan di hutan adalah mudah kerana semua keperluan telah tersedia.
Bahan asas seperti batang pokok boleh dijadikan sebagai rangka, rotan pula sebagai tali pengikat dan pelepah palma sebagai bumbung.
Selain memanggang, memasak menggunakan buluh merupakan kaedah paling mudah ketika berada dalam keadaan ‘survival’. Kaedah ini dipanggil pansuh iaitu dengan membakar buluh berisi sumber makanan di api seperti lemang.
Lebih penting, masakan yang disediakan semasa keadaan getir seperti ini bukanlah bertujuan untuk menikmati kesedapan juadah tersebut, sebaliknya hanyalah untuk menyediakan makanan yang selamat dan sumber tenaga.
Ketika berada di dalam hutan, ahli kumpulan Pendekar Rimba juga dilatih untuk mendalami persekitaran dan mendengar bunyi sekeliling. Tujuannya adalah bagi membiasakan pendengaran agar sentiasa peka dengan persekitaran dan ancaman haiwan liar.
Suasana hutan ketika waktu malam yang gelap gelita juga boleh mencetuskan rasa panik apabila terputus sumber cahaya. Namun, mata manusia boleh mengadaptasi untuk melihat dalam kesamaran malam.
Aktiviti berjalan dalam gelap boleh melatih dan membiasakan deria penglihatan ketika kehilangan sumber cahaya agar dapat mencari jalan pulang ke pondok perlindungan.
Sekiranya berjaya menemui kawasan lapang, perkara yang perlu dilakukan ialah untuk menghantar isyarat kecemasan ataupun S.O.S. Cara terbaik adalah dengan membakar kayu dan daun untuk menarik perhatian penyelamat.
Terdapat beberapa situasi untuk seseorang individu atau sesebuah kumpulan berada di dalam keadaan yang memerlukan ikhtiar hidup.
Antaranya sesat ketika memasuki hutan untuk melakukan aktiviti rekreasi, terselamat daripada nahas dan ‘tercampak’ jauh dari penempatan dan bencana alam.
Selain itu, peperangan dan juga keadaan yang tidak mustahil berlaku seperti seseorang berjaya melepaskan diri daripada penculikan.
Dalam pada itu, kegembiraan dan keterujaan tiga pendaki kerana berjaya menawan Gunung Denali, Alaska, bertukar sayu apabila tragedi menimpa dan meragut nyawa salah seorang daripada mereka. Dua yang terselamat kini telah pulang ke negara dan sedang menerima rawatan akibat ‘frostbite’ yang teruk.
Bagi yang terlepas menonton kisah ‘Ikhtiar Hidup Pendekar Rimba’ dan ‘Pendakian Terakhir Denali’ dalam Majalah 3 pada malam ini, langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh di Tonton.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.