KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi legenda, Datuk M Nasir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan yang membawa gelaran doktor hari ini.
Penganugerahan itu disampaikan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Jelas M Nasir atau nama sebenarnya, Mohd Nasib Mohamed, 67, ia satu pengiktirafan yang cukup besar sepanjang kariernya yang kini memasuki 45 tahun.
“Terima kasih kerana memberi penghormatan ini. Anugerah ini menjadi lebih bermakna apabila diberi sebuah institusi pengajian tinggi yang mengutamakan pendidikan dalam bidang seni.
“Anugerah ini sangat besar buat saya,” jelasnya.
Tambah M nasir, beliau bersyukur dan penghormatan itu juga ditujukan kepada semua penggiat seni tempatan.
“Biarpun ini bukanlah sesuatu yang baharu, namun, saya bersyukur kerana ia membuktikan mereka mengikuti perkembangan semasa dunia seni.
“Ini suatu penghormatan buat semua penggiat industri secara keseluruhan,” katanya.
Mengulas lanjut ujar M Nasir, syarikatnya Luncai Emas Sdn Bhd telah menjadi rakan strategik UPSI sejak 2016.
Syarikatnya turut menerima ramai pelajar UPSI dalam menjalani latihan amali.
Menubuhkan syarikat Luncai Emas Sdn Bhd sejak Januari 1990, hampir 40 artis tempatan bernaung dibawah syarikat itu.
Antaranya, kumpulan Spider, Kembara, Kopratasa, Jinbara, Hazama, Noraniza Idris dan The Faboulous Cat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.