KUALA LUMPUR: Artis veteran, Datuk M Daud Kilau meninggal dunia jam 4.40 petang tadi di Hospital Teluk Intan.
Berita duka itu turut dikongsi cucu Allahyarham Hasnorikram di Instagramnya.
“Atuk saya Mohd Daud Bin Kilau telah hembuskan nafasnya yang terakhir sebentar sahaja tadi. Al-Fatihah,” memetik hantaran tersebut hari ini.
Sebelum ini, artis yang terkenal dengan nyanyian lagu ‘Cek Mek Molek’ itu sering kali dikejarkan ke hospital akibat komplikasi kesihatan.
Beliau atau nama sebenarnya, Muhammad Daud Kilau itu menghidap penyakit jantung, paru-paru berair, serta pernah mengalami sesak nafas dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Bintang legenda itu mula mewarnai industri hiburan selepas berjaya menjuarai Bintang Radio Singapura pada 1968.
Allahyarham terkenal dengan dendangan lagu yang berkonsepkan irama asli dan dangdut selain penampilan beliau menerusi busananya yang dianggap sebagai ikon kepada penyanyi legenda itu.
Artis veteran, Datuk M Daud Kilau meninggal dunia jam 4.40 petang tadi di Hospital Teluk Intan. pic.twitter.com/vYu9zuvCtH
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 18, 2023
Kesihatan M Daud Kilau dilaporkan merosot sejak sejak dimasukkan ke hospital pada 12 Disember lalu.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balai Baroh, Bagan Datoh, Perak selepas solat Zohor esok.