SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengekalkan kadar zakat fitrah pada tahun ini mengikut harga beras yang dimakan iaitu RM7, RM14 dan RM21 seorang.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, penetapan kadar zakat itu adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan umat Islam Selangor pada kadar timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
“Kadar zakat fitrah RM7 seorang adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan harian beras jenis ‘super special’ tempatan dan ia adalah kadar wajib minimum sebagaimana diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
“Kadar RM14 seorang adalah daripada beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi. Bagi kadar RM21 pula adalah untuk umat Islam yang menjadikan makanan hariannya beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah dan setaraf dengannya.
“Galakan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak tahun 2018,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, LZS turut memperkenalkan tiga jenis kupon fitrah berwarna bersandarkan nilai mata wang ringgit Malaysia. Kupon fitrah berwarna hijau bernilai RM7, kupon berwarna merah (RM14) dan kupon berwarna oren, RM21.
Katanya, bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, LZS melantik seramai 2,642 orang Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh Selangor sepanjang Ramadan ini.
“Orang ramai diingatkan untuk menunaikan zakat fitrah kepada PAF yang dilantik berdasarkan kad tauliah dan sijil lantikan yang disahkan oleh LZS.
“Zakat fitrah juga boleh ditunaikan melalui 17 Penolong Amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 92 Maahad Tahfiz serta Sekolah Agama Swasta di negeri Selangor,” katanya.
Mohd Sabirin berkata, LZS turut menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat, EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my; Perbankan internet; Portal MyEg; Pos Online; Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.
Katanya, LZS akan membuka 18 cawangannya di seluruh Selangor selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan masyarakat yang mengambil kesempatan menunaikan zakat harta dan fitrah pada bulan Ramadan.
“Waktu urusan pada hari bekerja bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula jam 9 pagi hingga jam 3 petang,” katanya. –BERITA HARIAN