Tumpuan :
Nasional

Lunaskan saman tertunggak atau tidak boleh pulang

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Sarih Salleh hadir dalam operasi pemeriksaan pematuhan undang-undang jalan raya terhadap kenderaan asing dari Thailand yang memasuki negara ini semasa Operasi Saman Tertunggak Warga Asing 2024 di Kompleks ICQs Padang Besar. -FOTO: NSTP

PADANG BESAR: Pemilik kenderaan asing terutama dari Thailand dikehendaki melunaskan saman trafik tertunggak milik mereka sebelum meninggalkan negara ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Sarih Salleh berkata, berdasarkan operasi yang dilaksanakan pihaknya mendapati ada kenderaan dari negara jiran itu yang mempunyai 14 saman trafik tertunggak.

 

“Kita kesan terdapat pemilik kenderaan dari Thailand ini ada yang mempunyai 14 saman trafik tertunggak atas pelbagai kesalahan jalan raya dan ini memberi maksud bahawa pemilik ini tidak peduli dengan peraturan jalan raya negara ini.

“Negara kita bukannya tempat untuk mengumpulkan saman trafik ini dan setiap pemilik kenderaan asing ini seperti kereta persendirian, van pelancong, pikap barangan dagangan dan motosikal dikehendaki menyelesaikan terlebih dahulu tunggakan saman tertunggak mereka sebelum meninggalkan negara ini.

“Kegagalan berbuat demikian membolehkan kita mengambil tindakan untuk tidak membenarkan mereka pulang ke negara asal mereka selagi tunggakan saman trafik ini tidak dilunaskan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau perjalanan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) 2024 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar yang dijalankan di pintu masuk dan pintu keluar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar, semalam.

Sarih berkata, terdapat 704 saman yang dikeluarkan polis IPD Padang Besar terhadap warga asing sepanjang tahun ini sehingga semalam.

“Daripada jumlah itu, 308 saman yang dikeluarkan kepada warga asing sebelum ini didapati masih tertunggak membabitkan jumlah sebanyak RM36,790 dan daripada jumlah itu juga 269 saman (warga asing) ini berjaya diselesaikan membabitkan kutipan keseluruhan berjumlah RM172,920.

“Sehubungan itu, bagi memastikan pematuhan dalam kalangan warga asing terutama Thailand di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar ini benar-benar dipatuhi maka kita menjalankan satu Op Khas iaitu perjalanan Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) 2024 di laluan masuk dan keluar menuju negara ini di Kompleks ICQs Padang Besar bermula dari 11 Disember lalu sehingga semalam.

“Dalam operasi ini juga, sebanyak 693 pelbagai kenderaan dari Thailand diperiksa dan kita berjaya mengesan sebanyak 121 kenderaan yang mempunyai 144 saman pelbagai kesalahan trafik seperti tiada lesen memandu, cukai jalan dan insurans tamat tempoh, menghalang lalu lintas, tidak memakai tali pinggang dan topi keledar, membawa muatan berbahaya dan tidak patuh petunjuk arah trafik,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang operasi tiga hari itu, sebanyak RM19,480 kutipan bayaran semula saman tertunggak milik warga asing berjaya diperolehi.

“Pihaknya akan terus menjalankan operasi berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap pengguna jalan raya warga asing ini tidak ingkar dengan pematuhan undang-undang trafik negara ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini