comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Luluskan insentif fiskal RM200 juta kepada Kedah kerana kekalkan kawasan padi’ – Sultan

Sultan dan Sultanah Kedah berangkat ke istiadat pengurniaan pingat dan darjah kebesaran Kedah sempena ulang tahun baginda ke-82 di Istana Anak Bukit, hari ini.

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah meminta Kerajaan Persekutuan meluluskan permintaan negeri ini mendapatkan bayaran insentif fiskal berjumlah RM200 juta yang dipohon sebelum ini.

Baginda bertitah, insentif itu adalah sebagai mekanisme timbal balik selepas Kedah mengekalkan sejumlah keluasan negeri bagi tujuan pertanian yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat negara ini.

Baginda menjelaskan, Kedah kehilangan potensi menjana hasil lebih tinggi apabila pembangunan tidak dapat dilaksanakan di kawasan pertanian yang luas berkenaan.

“Beta begitu mengharapkan keprihatinan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, dapat meluluskan permintaan insentif fiskal sebanyak RM200 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah.

“Ia merupakan satu mekanisme timbal balik, bila mana Kerajaan Beta perlu mengekalkan 113,000 hektar kawasan penanaman padi, yang menyumbang 43 peratus Tahap Sara Diri Beras Negara,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada istiadat pengurniaan pingat dan darjah kebesaran Kedah sempena ulang tahun baginda ke-82 di Istana Anak Bukit, hari ini.

Turut berangkat hadir ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin and Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan memberi tabik hormat kepada perbarisan kawalan kehormat terdiri daripada pegawai dan anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-82 di Dataran Medan Bandar.

Sultan Sallehuddin bertitah, insentif fiskal berjumlah RM200 juta itu dilihat dapat mengimbangi hasil dan perbelanjaan Kedah pada masa hadapan terutama bagi membangunkan bidang sosio ekonomi.

Baginda bertitah, melalui pemberian insentif itu, kerajaan negeri dapat menyediakan program bantuan kepada golongan miskin dalam kalangan petani dengan membantu anggota isi rumah menambah pendapatan keluarga.

“Kerajaan Beta dapat menyediakan bantuan pendidikan yang lebih sempurna, serta melengkapkan keperluan asas dan akhirnya membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan hidup.

“Di samping itu, ia juga boleh digunakan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi, seperti menyediakan lebih banyak kawasan perniagaan kepada golongan peniaga dan penjaja kecil,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut meminta senarai permintaan yang dibentangkan kerajaan negeri terutama bagi melaksanakan projek pembangunan di Kedah mendapat perhatian segera Kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah, ia bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan meningkatkan taraf ekonomi negeri pada masa hadapan.

“Seperti mana Beta disembah maklum, Menteri Besar telah membentangkan senarai ‘wishlist’ projek pembangunan di Kedah kepada Perdana Menteri dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah pada 4 Mei yang lalu.

“Oleh itu, Beta berharap ‘wishlist’ yang dibentangkan itu, mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan untuk diambil tindakan segera,” titah baginda.

Pada masa sama, Sultan Sallehuddin menyarankan Kerajaan Persekutuan memperkasakan pembangunan bandar sempadan melalui pembinaan jalan raya baharu menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan ICQ Sadao.

“Dari perspektif ekonomi serantau, Beta turut disembah maklum tentang kerancakkan pembangunan bandar sempadan, di antara Malaysia dan Thailand melibatkan daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Ini memandangkan hampir 50 peratus kawasan di Zon Ekonomi Khas Sempadan Bukit Bukit Kayu Hitam dan Kedah Rubber City (KRC), masing-masing diterajui oleh NGX, iaitu anak syarikat Kementerian Kewangan Yang Diperbadankan, dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara,” katanya.

Pada masa sama, baginda turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana membantu menyelesaikan masalah kemiskinan tegar dalam kalangan 1,750 keluarga di Kedah dalam masa yang singkat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini