Oleh: Izzatie Rizan
PASIR GUDANG: “Sekali tengok terus rasa sayang nak makan”.
Berbanding hiasan yang sering dilakukan pada kek, roti manis juga boleh bertukar indah sekiranya mendapat sentuhan istimewa.
Kelainan itu ditampilkan suri rumah Noor Haziah Adam 39 di sini, yang menerapkan seni lukisan berwarna-warni pada roti sekaligus memberikan satu perasaan indah kepada pemakannya.
Berkongsi kepada Buletin TV3, Noor Haziah berkata idea dekorasi pada roti bermula secara kebetulan tahun ini.
Mengusahakan kek dan biskut secara kecil-kecilan sejak dua tahun lalu, katanya di samping mencari kelainan, dia mahu semua golongan mampu menikmati roti istimewa itu.
“Saya memang minat melukis sejak zaman sekolah lagi jadi apabila ceburi dunia bakeri, saya cuba teknik sama pada roti yang tak sangka dapat sambutan.
“Ia memberikan nilai sentimental terutama bagi individu yang memilih roti untuk diabadikan pada majlis istimewa mereka…sebab tak semua orang mampu membeli kek,”katanya.
Tidak hanya mementingkan kekemasan dan kecantikan, Noor Haziah juga akan memastikan setiap roti yang dihasilkan sedap dimakan dengan menggunakan bahan berkualiti.
Katanya tempoh proses melukis pada kek bergantung kepada corak dimahukan pelanggan, yang mana ketika ini permintaan paling popular adalah corak kartun animasi jepun kuromi serta bunga-bungaan.
“Hendak pastikan roti itu sedap, kita akan gunakan bahan premium.
“Roti manis ini juga ada inti istimewa antara coklat, strawberi, serta blueberi.
“Jika corak dimahukan mudah, ia lebih cepat siap berbanding corak khas yang perlu dibuat lakaran terlebih dulu,”ujarnya.
Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, ibu kepada lima cahaya mata ini bercadang ingin menerapkan konsep batik pula pada roti di masa akan datang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.