Tumpuan :
Nasional

LUAS siasat aktiviti potensi tinggi ke arah peningkatan aliran kekeruhan di 2 sungai

Kakitangan LUAS meneruskan pemantauan hari kedua susulan mengesan aliran kekeruhan yang tinggi di Sungai Selangor dan Sungai Sembah. – FOTO: LUAS / Facebook

HULU SELANGOR: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti aktiviti yang berpotensi ke arah peningkatan aliran kekeruhan di Sungai Selangor dan Sungai Sembah, semalam.

Ini termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Batang Kali yang dihenti tugas sementara.

“LUAS melakukan pemantauan di dua sungai itu melalui bacaan kualiti air iaitu tahap kekeruhan yang dianalisa setiap jam sepanjang malam.

“Pemantauan ditamatkan jam 6 pagi tadi setelah didapati kualiti air kembali pulih seperti keadaan biasa di bawah 500 NTU bacaan kekeruhan.

“Tiada gangguan operasi LRA dilaporkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut LUAS, siasatan itu dilakukan mengikut Enakmen LUAS 1999 di lokasi terbabit.

Pada masa sama, LUAS turut menjalankan siasatan di beberapa kawasan anak sungai meliputi Sungai Kundang, Sungai Gong, Sungai Rawang, Sungai Serendah dan Sungai Guntong yang mana bacaan kekeruhan adalah sekitar 100 ke 420 NTU.

“Peningkatan kadar kekeruhan ini disebabkan hujan lebat yang berlaku di kawasan hulu sungai lewat petang semalam, yang mana turut berlaku di kawasan tadahan Sungai Batang Kali dan kebanyakkan kawasan di Selangor.

“Ia berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia petang semalam,” katanya.

Semalam, media melaporkan LRA Batang Kali dihenti tugas sementara berikutan aliran kekeruhan yang tinggi dikesan di Sungai Batang Kali.

Henti tugas bermula jam 5.40 petang sehingga 7.50 malam itu sebagai langkah kawalan terhadap operasi loji berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kesan kepada pengguna berkaitan pembekalan air terawat susulan henti tugas sementara dimaklumkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini