comscore
Tumpuan :
Nasional

LUAS buka kertas siasatan berhubung pencemaran bau di Sungai Kundang, Sungai Sembah

Foto: LUAS/ Facebook

PETALING JAYA: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah di sini, susulan kebocoran tangki sebuah kilang plastik di Kuang yang menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas.

Menerusi laman facebooknya, LUAS memaklumkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap premis yang terbabit dalam insiden itu.

Foto: LUAS/ Facebook

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga akan mengambil tindakan yang berkaitan di bawah bidang kuasa masing-masing terhadap premis berkenaan.

“Pihak LUAS sudah melaksanakan pemantauan intensif bermula Isnin lalu sehingga hari ini di Sungai Kuang, Sungai Kundang, Sungai Sembah dan Sungai Selangor, di mana bacaan bau dan pemerhatian keadaan aliran sungai dianalisa dan disemak setiap 30 minit.

“LUAS juga sudah melaksanakan langkah-langkah mitigasi terhadap pengesanan bau abnormal di llokasi berkaitan dan air mentah berjaya disalurkan semula bermula jam 3 sehingga 5 petang semalam kepada loji-loji rawatan air utama negeri.

“Tindakan kerja pembersihan oleh premis terbabit susulan Surat Arahan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 di kawasan lokasi yang terjejas dan terkesan dengan bahan pencemar itu juga dilaksanakan dan dipantau rapi oleh LUAS, yang mana ia selesai sepenuhnya jam 11 malam tadi,” menurut kenyataan itu.

Menurut LUAS, verifikasi di semua lokasi berkenaan mengesahkan bacaan 0 ton dan tiada lagi kesan bahan terbabit ditemui.

“LUAS akan meneruskan pemantauan di lokasi terbabit dan sentiasa bersiap siaga untuk tindakan-tindakan mitigasi yang perlu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini