comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi kembali beroperasi

 

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi telah kembali beroperasi sepenuhnya membolehkan bekalan air disalurkan secara berperingkat kepada pengguna.

Setakat jam 6:00 pagi, status pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas telah mencapai 55 peratus.

Semalam, sumber air mentah kedua-dua LRA tersebut disalurkan semula selepas bacaan sifar ton direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Hee Loy Sian berkata, ia susulan tindakan mitigasi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), agensi kerajaan negeri dan pihak yang terlibat di semua lokasi yang terbabit dalam insiden pencemaran bau yang menyebabkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas.

Usaha tersebut termasuk menyedut baki cecair cemar di sepanjang 500 meter aliran longkang.

Manakala 45 beg ‘activated carbon’ bersamaan sekitar 1.6 tan telah diletakkan di longkang lokasi pencemaran, aliran Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih bagi meningkatkan proses nyah bau air sungai.

Sabtu lalu, kemalangan lori membawa muatan pati minyak wangi di Lebuhraya ELITE berdekatan Serenia, Negeri Sembilan menyebabkan bekalan air ke lebih 470 kawasan di empat daerah di Selangor serta Putrajaya terjejas.

Loading...
Terkini