Tumpuan :
Nasional

LRA Batang Kali dihenti tugas sementara 

FOTO: Ihsan LUAS

HULU SELANGOR: Loji Rawatan Air (LRA) Batang Kali dihenti tugas sementara berikutan aliran kekeruhan yang tinggi dikesan di Sungai Batang Kali, hari ini.

Menerusi hantaran di laman facebook, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan, tindakan itu bermula jam 5.40 petang sehingga 7.50 malam tadi sebagai langkah kawalan terhadap operasi loji berkenaan.

Namun ia tidak memberi sebarang kesan kepada pengguna berkaitan pembekalan air terawat susulan henti tugas sementara dimaklumkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

FOTO: Ihsan LUAS

“Lewat petang tadi kebanyakkan kawasan di Selangor menerima kadar hujan yang tinggi, termasuk kawasan Sungai Batang Kali yang menerima kadar hujan tinggi sekitar 64 ke 70 milimeter.

“Situasi itu mengakibatkan aliran kekeruhan yang tinggi di sungai terbabit dan ia meningkat ke tahap melebihi 3000 NTU,” katanya, malam ini.

Menurutnya, pasukan Skuad PantasLUAS segera membuat pemerhatian di lapangan dan disahkan permasalahan kekeruhan susulan penerimaan hujan yang tinggi di kawasan hulu Sungai Batang Kali.

“Ini meningkatkan aliran air di keseluruhan kawasan permukaan dalam kawasan tadahan dan ia merupakan faktor peningkatan kekeruhan berbanding hari biasa.

“Bagaimanapun, LUAS akan menjalankan tindakan pemantauan susulan bagi aktiviti-aktiviti berpotensi seperti aktiviti kerja tanah di hulu muka sauk.

“Pada masa sama, rondaan dan pemantauan di Sungai Sembah juga mengesan kadar kekeruhan melebihi bacaan biasa 500 NTU.

“LUAS juga segera mengaktifkan pemantauan kekeruhan di sungai itu, serta siasatan di kawasan berhampiran dan siap siaga dengan mitigasi yang berkaitan,” katanya.

Agensi itu sedang giat memantau rapi situasi semasa dan bersiap siaga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini